Isnin, 30 Ogos 2010

Merdekakah Ramadhan atau Ramadhankah merdeka?



Tahun ini kita merayakan lagi sambutan kemerdekaan dalam bulan Ramadhan. Bagi saya tiada apa yang dinantikan selain daripada sambutan yang membazirkan duit-duit rakyat sedang ramai rakyat miskin yang berlaparan di rumah, menanti bantuan di rumah untuk meneruskan ibadah ramadhan. Bukan semata di Malaysia, malahan di Palestin, selatan Lubnan, dan banyak tempat lagi. Apa ertinya merdeka lahiriah sedangkan kita masih disumbat dengan penjajahan minda yang tidak kesudahan.

Saya teringat sedutan video seketika menonton ‘The Future of Our Religion’ oleh Tariq Swaidan, menceritakan kala mana Islam sudah menguasai Sepanyol, dan bagaimana tentera kristian merampas semula Sepanyol dari tangan orang Islam, bertahun-tahun intipan dibuat.

Bermula dengan bagaimana pengintip terjumpa dengan seorang remaja lelaki yang menangis teresak-esak. Bertanyalah pengintip tadi, akan gerangan apakah ia menangis. Maka dia berkata bahawasanya ibunya tidak membenarkan ia menyertai tentera Islam selagi mana ia tidak khatam al-Quran.

Pengintip tadi pulang dengan membawa berita bahawa mereka masih belum bersedia untuk menyerang orang Islam. beberapa tahun kemudian, pengintip dihantar lagi. Kali ini mereka terjumpa dengan seorang remaja lelaki lagi, sedang menangis. Ditanya kepadanya, mengapakah kamu menangis? Dijawabnya, bahawa ia putus cinta. Ketika itulah saat di mana tentera Kristian merebut peluang untuk menyerang orang Islam, sehingga Sepanyol jatuh ke tangan Kristian.

Apalah adanya kemerdekaan tanpa diertikan sebenar-benarnya apa itu merdeka? Seakan-akan ia adalah laungan yang dimain-mainkan penjajah, memperbudakkan kita. Tatkala kita dengan penuh yakin melaungkan kalimah merdeka, para penjajah balik dengan senyuman puas terlukis di wajah mereka.

Bahawa mereka tidak pulang dengan tangan kosong, bahkan mereka telah meninggalkan pasak-pasak peninggalan mereka, benih-benih pemahaman dan penjajahan mereka yang akan tumbuh meliar dan melilit setiap jiwa anak ‘merdeka’ kononnya.

Cukup sekadaran dengannya, kita tutup sirah pilu merdeka, mari singkap bagaimana dalam bulan Ramadhan membawa erti kepada kita dengan tawaran kemerdekaannya.



Saudara seaqidah yang saya cintai,
Sebagaimana maklumnya kita, kita sedar dan waras bahawa bulan Ramadhan adalah satu tempoh masa yang menjadi tarbiyyah buat diri kita. ya, ia satu latihan, dan didikan. Ia mendidik bagaimana untuk memerdekakan diri. Bagi mereka yang sepanjang masa diulit nafsu, serakah mahupun syahwat, dan seumpamanya, tentu sahaja Ramadhan yang mendatang dilihat sebagai sesuatu yang menyeksakan, kerana mereka sudah asyik dan tenggelam serta hanyut dengan nafsu dan dunia.

Ramadhan datang dengan membawa kepada kita didikan apa itu erti kemerdekaan. Ia bukan sekadar satu didikan supaya kita merasa bagaimana jerihnya menjadi seorang yang miskin harta dan tidak mampu walaupun untuk sesuap nasi.

Lebih dari itu, ia mendidik kita bagaimana untuk merdeka daripada cengkaman nafsu dan puasa datang dengan membawa kemerdekaan pada jiwa manusia daripada perhambaan nafsu. Daripada kita merasakan keinginan-keinginan yang membentuk kehendak kepada sesuatu, Ramadhan datang dengan seruan pembebasan daripada cengkaman nafsu.

Sesungguhnya nafsu adalah sekutu kuat syaitan, tatkala mana Ramadhan tiba dan syaitan dan ketuanya iblis dibelenggu, maka nafsulah yang akan bermain peranan untuk menjerumuskan kita ke kancah maksiat, daripada mengurangkan pahala berpuasa membawa kepada pembatalannya, na’udzubillahi min zalik.

Ramadhan datang membawa kerehatan kepada perut yang penat bekerja sebelas bulan dengan diisi makanan, diproses, dikeluarkan, berulang-ulang kali. Namun dalam bulan ini, perut diberikan rehat berjam-jam, daripada memproses makanan-makanan yang masuk. tak kurang yang menjadikan Ramadhan bulan ‘diet’, semoga berjaya.
Cumanya, samada kamu mengakhirkan Ramadhan dengan redha Allah dan ganjaran-Nya, atau kamu mengakhiri Ramadhan dengan penat dan lapar, serta perut yang ramping, sedang terlepas ganjaran-ganjarannya.

Begitulah juga pada bentuk nafsu yang lain. Ia mendidik nafsu kita untuk berbelanja kepada berjimat, mendidik syahwat kita agar fokus kepada ibadat. Apalagi yang membazir masa membuat sesuatu yang sia-sia, sedang Nabi berkata, salah satu keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah padanya.
Kalau ada yang tetap kalah, maka dia sesungguhnya akan kalah dalam bulan tarbiyyah ini. Dengan memerdekakan diri daripada nafsu ini, barulah kita mengerti dan memahami erti kemerdekaan.

Ramadhan juga datang dengan membebaskan kita daripada belenggu duniawi dengan tawaran ganjaran ibadahnya. Bayangkan perkara yang sia-sia itu hanya akan mengurangkan pahala berpuasa, sehingga bisa membawa kepada pembatalannya. Puasa mendidik kita agar menjadi seorang yang qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada), tidak kikir (kedekut) dengan hartanya, bersifat sabar, lebih-lebih lagi adalah disiplin. Disiplin mendidik kita memahami kehendak berpuasa yang benar, mencontohi amalan-amalan sunnah nabi, melaksanakan suruhan Allah melalui kalam wahyu dan hadith, meninggalkan pula apa yang dilarang dan dibenci, juga syubhah (meragukan).

Kita boleh jadi sangat pemurah dalam membeli pakaian dan persiapan untuk Ramadhan atau berpuasa, tapi amat kikir apabila sampai kepada bab menderma sedikit daripada harta yang ada. Kita mampu untuk bersabar dan mengumpul duit untuk membeli sesuatu yang kita suka, tapi kita tidak mampu bersabar untuk mengumpul pahala sebagai satu perdagangan yang baik dengan Allah.

Alangkah malangnya kita dan sia-sia pula amalan yang kita buat. seakannya tiada guna kita berlapar dan berdahaga sekiranya hal yang kita ‘anggap’ remeh ini tidak mampu untuk dilakukan.

Bayangkan ganjaran kepada amalan-amalan yang dilakukan sepanjang ramadhan, siapa yang bisa memberi satu tawaran yang lebih hebat daripada Allah? Sedang tawaran Dia kekal dan berpanjangan, bukan semata di dunia, malah ke akhirat sana. Ramadhan datang dengan mendidik kita erti merdeka daripada perhambaan manusia, dan hanya menjadi hamba kepada Allah semata.

Maka ia menjadi satu bulan di mana kita bisa bertaqarrub lebih dengan Allah. Kerana itu Allah perkayakan tawarannya di bulan ini dengan solat sunat Tarawih, tilawah al-Quran, Qiyamullail, dan juga lailatul qadr. Dengan syaitan dibelenggu dan diikat, maka tiada apa yang menghalang kita daripada hendak beribadah kepada Allah. Kalau masih lalai dan leka, serta tidak mahu kepada kebaikan, maka kita mungkin sudah berajakan nafsu.

Ramadhan datang membawa erti kemerdekaan, ertilah kemerdekaan ini pada hakikatnya bukan pada takrifnya semata.
Ayuh, perkasakan tubuh, perkayakan ibadah, mengejar redha Allah, mencapai redha Allah.

sumber:
http://www.ismaweb.net/v4/merdeka-dan-ramadhan/
http://thetalkingpen.blogspot.com/