Sabtu, 27 Februari 2010

Kepimpinan Harapan Memacu Sinar Belia Islam di Malaysia



Perlantikan barisan Jawatan Kuasa Pusat (JKP) PEMBINA yang baru dalam AGM ke-3 baru-baru ini, pada hemat saya merupakan suatu lonjakan besar yang penuh bermakna buat pembangunan dan pelestarian agenda PEMBINA di persada nasional. Tanpa menolak jasa dan pencapaian yang telah dilakar oleh JKP terdahulu, pemilihan baru ini dilihat sebagai barisan kepimpinan idaman (dream team) yang bakal mencetus nafas baru dalam memastikan kesinambungan perjuangan PEMBINA. Di sini saya coretkan beberapa potensi yang dimiliki mereka bagi menggalas tugas dan amanah besar ini:

1. Potensi Fitrah

Saya mengenali secara peribadi majoriti individu dalam barisan JKP yang baru dipilih. Perkenalan saya dengan mereka sejak zaman universiti membawa kepada satu kesimpulan, mereka adalah manusia hebat yang ikhlas dalam perjuangan.
Zaizul Azizi Zaman ialah ‘senior’ saya di universiti. Dialah yang menyambut saya dan rakan seangkatan di Tullamarine Airport ketika kali pertama kami menjejakkan kaki ke bumi Melbourne, Australia. Mana mungkin kami melupakan jasa dan susah payah beliau menguruskan penempatan kami, menunjukkan jalan, memperkenalkan kedai, mengajar selok belok pengangkutan awam, membelanja makan dan berjalan-jalan. Kata-kata yang beliau sering ungkapkan, tidak mungkin saya lupa, “We have nothing to lose” (Kita tidak sedikitpun rugi). Zaizul adalah guru pertama yang mengajarkan saya erti pengorbanan, ukhuwwah dan berkata benar.

Norzafry Norhalim pula ialah bekas sahabat serumah saya. Angka 1705 mempertaut hubungan antara kami. Walaupun beliau setahun lebih muda berbanding saya dan ahli rumah yang lain, ternyata usia bukanlah penghalang untuk kami mencipta keakraban tersendiri. Mungkin disebabkan kematangan beliau (tengok jambang pun dah tahu!) dan kemahiran hubungan sosial yang tinggi memudahkannya bergaul dengan orang yang jauh lebih tua. Malah, di rumah kami beliaulah yang sering menceriakan suasana dengan pelbagai gelagat dan jenaka. Terlalu banyak suka duka yang dikongsi bersama sehinggakan ketika tulisan ini dihasilkan pun, saya tersenyum sendiri mengenangkan Zaman silam penuh nostalgia yang pernah kami tempuhi. Zafry adalah sahabat yang mengajarkan saya erti keberanian, kepercayaan dan kerjasama.

Muadz M Zain juga seangkatan dengan Zafry. Beliau mengambil jurusan yang sama dengan saya, menjadikan kami rapat kerana saya sering berkongsi, buku rujukan, laporan makmal (lab report), tutorial dan tugasan universiti yang lain (Entah betul atau tak jawapannya, saya pun tak pasti….). Kami juga berkongsi minat bersukan dan berekreasi. Walaupun beliau tinggal di rumah lain di tingkat 6, ada kalanya beliau menghabiskan lebih banyak masanya di rumah saya di tingkat 17. Muadz adalah saudara yang mengajarkan saya erti kerendahan hati, saling menghormati dan keprihatinan.

Tengku Asyraf pula ialah ‘junior’ saya di sana. Saya menyambut beliau dan rakan seangkatannya di Tullamarine Airport ketika mereka tiba di Melbourne buat pertama kali. Hubungan kami lebih kepada hubungan abang dan adik. Berlainan universiti dan jurusan menjadikan interaksi antara kami agak terhad, namun saya memerhatikan beliau dan rakan seangkatan yang lain dewasa dan membesar. Kedewasaan dan kematangan yang menyejukkan mata dan hati. Asyraf saya lihat memainkan peranan yang besar sebagai ketua dan tempat rujuk bagi sahabat-sahabat seangkatannya yang lain. Asyraf adalah adik yang mengajarkan saya erti kepatuhan, keikhlasan dan ketenangan.

Selain mereka, Syukri dan Ibrahim saya mula kenali di tanahair, selepas tamat belajar.

2. Potensi Pengalaman (Persatuan Pelajar Islam)

Kesemua JKP yang baru dipilih mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan persatuan pelajar Islam samada di dalam mahupun di luar negara. Berdasarkan pemerhatian saya, mengendalikan persatuan pelajar Islam di dalam dan di luar negara menjanjikan pengalaman yang cukup berbeza.
Pergerakan persatuan pelajar di Malaysia secara umumnya didominasi oleh birokrasi dan protokol yang ketat, kebebasan bersuara dan kebebasan media yang terbatas, interaksi dengan rakyat kampus yang minimum serta ruang lingkup kerja yang lebih berbentuk rutin.

Realiti di luar negara memperlihatkan senario sebaliknya. Pergerakan pelajar Islam di luar negara terutama negara-negara Barat agak bebas dan tidak dikongkong menyebabkan mereka mampu menyuarakan pandangan dengan lantang dan berani. Komunikasi dengan masyarakat kampus hidup dan rancak serta menyentuh pelbagai isu dan kemelut yang bersifat sejagat disekeliling mereka.

Tidak dinafikan, kelebihan terletak kepada para pimpinan yang telah lama bergelumang dengan politik kampus di Malaysia kerana PEMBINA sendiri adalah NGO belia yang bersifat tempatan, namun saya berpendapat sedikit sebanyak pengalaman berpersatuan di luar negara akan memperkaya dan menjanjikan keunikan terhadap cara pengendalian serta corak kepimpinan sesuatu organisasi. Maka di sinilah kekuatan barisan baru pemimpin tertinggi PEMBINA, kombinasi pakar persatuan pelajar Islam dari dalam dan luar negara pasti mencerna kelainan dan keistimewaan yang tersendiri!

3. Potensi Pengalaman (Kerjaya)

Bukan suatu kebetulan juga bahawa kebanyakan ahli JKP PEMBINA kali ini merupakan pekerja syarikat petroleum nasional yang tidak asing lagi, PETRONAS. Untuk makluman, PETRONAS tersenarai dalam Fortune Global 500 sebagai antara syarikat terbesar di dunia, menduduki tempat ke-95 pada tahun 2008 dan meningkat ke tangga 80 pada tahun 2009. PETRONAS juga diiktiraf sebagai syarikat yang mencatat keuntungan ke-8 tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia pada tahun 2008.

Lantas, berada dan bekerja dalam syarikat penuh prestij ini pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup mahal harganya. Terlatih dengan pelbagai sistem pengurusan dan piawaian bertaraf dunia seperti Performance Planning and Appraisal (PPA), Solomon Benchmarking, Leadership Behavior and Value Feedback (LBVF), Refinery Management System (RMS), Knowledge Management (AXIS), PETRONAS Technical Standard (PTS), Maintenance Index (MI) Procedure serta banyak lagi pastinya memberikan kelebihan kepada mereka untuk memacu pengurusan PEMBINA ke arah yang lebih efektif dan berkesan. Sistem pengurusan, piawaian dan konsep-konsep korporat ini jika dapat diterap dan diadaptasikan dalam kontek pengurusan persatuan, pasti mampu meletakkan PEMBINA satu anak tangga lebih atas berbanding persatuan-persatuan belia yang lain.

4. Potensi Persefahaman

Tidak dapat dinafikan, persefahaman dan semangat kerja berpasukan yang tinggi merupakan nadi kepada mana-mana organisasi untuk berjaya. Semakin besar agenda yang diperjuangkan, maka semakin pentinglah elemen tersebut dalam sesuatu gerakan. Dan PEMBINA amat bertuah kerana persefahaman dan semangat kerja berpasukan sudah sedia terjalin di kalangan JKP yang baru dilantik. Kebanyakan mereka telah pun mengenali hati budi masing-masing semenjak berkecimpung dalam persatuan pelajar Islam di zaman universiti lagi.

Di tempat kerja saya, kami diminta untuk menduduki ujian personaliti (personality test) bagi menentukan karakter, cara berkomunikasi dan corak interaksi individu. Ujian ini dijadikan sebagai panduan untuk majikan lebih mengenali pekerja-pekerjanya, tahu cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka dan bagaimana mahu mengoptimumkan peranan mereka dalam menjayakan agenda syarikat.

Ternyata, PEMBINA tidak memerlukan instrumen ini kerana pimpinan yang dilantik telah mengharungi pahit maung perjuangan bersama sebelum ini. Pengalaman yang diharungi bersama ketika tidur bergelimpangan di dalam van selama 2 minggu bermusafir merentas benua, dikejar polis kerana memandu melebihi had laju, mengharungi kesejukan berwuduk dengan salji lantas bersolat berjemaah di atasnya, berkawal malam demi menjaga rakan-rakan yang sedang nyenyak tidur di dalam khemah dari serangan wombat, tidak mandi selama 3 hari sepanjang program, membawa pelajar baru melihat bebola api di Crowne dan memberikan tazkirah berkenaan api neraka, tidak dapat tidur malam setelah bermesyuarat sehingga lewat malam sambil menghirup kopi pekat manis buatan ‘pakcik’, bersolat tarawikh 8 rakaat hanya dalam masa 5 minit di Masjid Turki, membantu Brother Mansoor di City Mosque membersihkan karpet masjid selepas solat Subuh, menjamu Charcoal Chicken dan Big Sam’s pizza selama seminggu berturut-turut, mengalami kemalangan jalanraya dengan trem kerana kekok membuat hook turn, bermain bola sepak ala kampung di atas padang hoki universiti dan menunda van yang terbakar enjin di tengah kepekatan malam pastinya jauh lebih berharga untuk mengenali hati budi rakan seperjuangan berbanding menjawab soalan-soalan bertulis dalam ujian personaliti, walau dengan 99 peratus ketepatannya.

5. Potensi Sumbangan

Apa yang lebih penting dari empat perkara di atas ialah tenaga yang telah mereka curahkan, wang ringgit yang telah mereka laburkan, buah fikiran yang telah mereka perah, masa berharga yang telah mereka luangkan demi memartabatkan PEMBINA di persada nasional selama ini. Terlalu banyak untuk dicoretkan satu persatu disini. Cukuplah saya nyatakan, berdirinya PEMBINA seperti yang dilihat pada hari ini adalah sebahagiannya saham dari mereka dengan dipimpin oleh JKP yang terdahulu.

Benar, manusia selamanya tidak akan pernah menjadi malaikat yang sunyi dari segala kesilapan dan kepincangan. Malah kesilapanlah yang mendewasa dan mematangkan manusia, ke arah menjadi insan yang lebih baik. Mereka yang dilantik telah banyak belajar dan saya yakin, masih dalam proses pembelajaran. Dengan gandingan bahu dan pimpinan tangan yang padu, seluruh warga PEMBINA pasti mampu menampung kekurangan yang ada, malah menyediakan satu sistem sokongan yang mantap untuk bekerjasama membantu pimpinan yang telah dilantik bersama.

Bersama-sama kita doakan semoga barisan pimpinan baru ini mampu membawa PEMBINA ke suatu tahap yang lebih tingggi demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya amanah yang besar hanya akan mampu ditanggung oleh mereka yang berjiwa besar, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amal. Berharaplah kepada Ilahi, bukankah Dia adalah sebaik-baik penolong?
Tahniah dan selamat bekerja kepada JKP PEMBINA yang baru!
Semoga Allah bersama kalian.

Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Pengerusi,
PEMBINA Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan