Ketika Mark Zuckerberg mula menulis program Facemash pada Oktober 2003, tiada siapa menyangka bahawa ia merupakan satu titik tolak kepada fenomena baru dunia. Program yang melalui beberapa revolusi tersebut kemudiannya dikenali dengan Thefacebook sebelum bertukar nama kepada Facebook sepertimana yang dikenali umum pada hari ini. Terkini, Facebook merupakan rangkaian laman sosial tersohor dunia dengan lebih 600 juta pengguna aktif selain merupakan syarikat web ketiga terbesar di Amerika Syarikat (selepas Google dan Amazon) dengan nilai USD41 billion.
Anda juga pasti salah seorang daripada pengguna aktif Facebook bukan? Adalah tidak mengejutkan jika jawapan anda ialah “Ya” atau “Sudah tentu!” kerana statistik menunjukkan lebih 8 juta penduduk Malaysia pada hari ini memiliki akaun Facebook. Malah Malaysia menduduki tangga ke-16 dalam carta pengguna Facebook tertinggi di dunia.
Saya cuba membuat sedikit analisa ringkas terhadap impak Facebook terhadap para belia khususnya di Malaysia dalam ruang yang cukup terbatas ini:
1. Sambil tidak menafikan kehebatan dan kelebihan Facebook yang boleh disalurkan ke arah kebaikan, pemerhatian dan statistik menunjukkan secara majoriti para belia di Malaysia sekadar menggunakannya untuk bersosial secara berlebihan tanpa hasil yang membina.
2. Kalaupun ada yang benar-benar memanfaatkan laman sosial ini kepada perkara-perkara yang bermanfaat, mereka akhirnya turut di'ganggu’ dengan pelbagai tarikan (mesej, gambar, permainan virtual, iklan dan lain-lain) yang akan mencuri waktu produktif mereka. Masa mereka di alam maya berlarutan bukan untuk kerja penting yang asasi, sebaliknya melayan gangguan-gangguan yang disebutkan tadi.
3. Insiden-insiden ngeri seperti emak yang mengabaikan anak sehingga mati lemas, kadar perceraian yang tinggi akibat bermain kayu tiga di laman sosial serta pelbagai jenayah siber yang dikaitkan dengan Facebook perlu dijadikan sempadan bagi para pengguna laman sosial ini di Malaysia. Walaupun kes-kes yang dinyatakan di atas berlaku di luar negara, namun tidak mustahil jika tidak ditangani dengan baik ianya juga boleh terjadi di tanahair kita yang tercinta.
4. Impak yg paling menonjol hasil penggunaan Facebook ialah ketagihan. Sekali terjebak, memang amat sukar untuk ditinggalkan. Hanya mengadap Facebook lebih 30 minit sehari setiap kali anda di alam maya atau melayari laman sosial ini 3 kali dalam sehari sebenarnya sudah cukup untuk mengklasifikasikan anda sebagai ‘penagih’ Facebook.
5. Ketagihan akhirnya akan membawa kepada pembaziran masa. Di sesetengah syarikat, capaian internet para pekerja ke laman sosial ini dihalang bagi mengelakkan para pekerja menggunakan masa kerja untuk aktiviti sosial maya. Di tempat saya bekerja, fenomena melayan Facebook di waktu kerja amat berleluasa dan ia pastinya bukanlah sesuatu yang enak dipandang mata apatah lagi jika yang memandang itu ialah mata majikan anda!
6. Para belia harus bijak dan matang menapis bahan serta input yang diterima dari laman sosial ini. Sesetengah darinya mampu menggugat aqidah sebagai seorang Muslim. Di beberapa buah negara, Facebook diharamkan kerana membenarkan bahan-bahan berunsur anti Islam dan berbentuk diskriminasi agama diterbitkan.
7. Saya mengenali beberapa individu yang selalu berada di alam maya, namun tidak membaca email-email yang dihantar ke akaun email mereka. Apabila ditanya kenapa ‘online’ tetapi tidak membuka email, katanya kerana sudah ada Facebook. Saya tidak menyangka begitu kuat impak Facebook sehingga mampu menggantikan email sebagai medium komunikasi utama di alam maya.
8. Saya pernah membaca artikel bertajuk “Dosa-dosa dan Facebook” oleh Ustaz Zaharuddin, salah seorang tokoh agama yang prominen di Malaysia. Sangat menarik untuk dihayati dan diinsafi. Saya sarankan para belia untuk membaca artikel ringkas tersebut dan pastikan anda tidak terlibat dengan dosa-dosa yang diutarakan. Antara kata-katanya yang cukup membekas ialah “Jangan mempermainkan nama ukhuwwah untuk berbuat dosa“. Tuntas!
Fenomena Facebook benar-benar mengingatkan saya terhadap fenomena internet yang melanda dunia ketika mula-mula diperkenalkan lebih sedekad yang lalu. Antara ketakutan terhadap impak negatif dan harapan terhadap kesan baiknya, mahu tidak mahu kita harus menerima masuk teknologi tersebut. Begitu juga dengan Facebook. Dalam masa beberapa tahun kedepan bilangan penggunanya pasti akan berlipat kali ganda. Tidak lama kemudian, mungkin semua pengguna internet akan memiliki akaun laman sosial masing-masing (pengguna internet pada tahun 2009 ialah sebanyak ¼ penduduk dunia!).
Cabaran yang harus kita depani terutamanya bagi golongan muda hari ini ialah memastikan penggunaan teknologi ini membawa lebih kebaikan berbanding kemusnahan. Membina bukan meruntuh. Langkah ini harus bermula dengan jatidiri yang mantap, kawalan diri yang berterusan dan suasana baik yang menggalakkan. Saya penuh yakin dan percaya, fenomena baru yang melanda ini mampu kita gunakan demi keuntungan diri, bangsa dan agama. Umpama air bah yang melanda, merosak dan membunuh namun akhirnya meninggalkan tanah yang subur buat kehidupan yang lebih bermakna.
Hasil Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Mantan Pengerusi PEMBINA Melaka
Untuk tidak hanyut dalam ketagihan facebook pada perkara-perkara yang dianggap berlakunya pembaziran masa dan tenaga, pengguna facebook perlu ada matlamat diri mengapa mereka melayari facebook. Sekiranya mereka menetapkan matlamat yang baik misalnya untuk berdakwah, mereka sendiri perlu ada jati diri supaya tidak terpengaruh dengan perkara-perkara lain yang ada dalam facebook yang mungkin boleh memesongkan niat suci mereka itu.
BalasPadamTerdapat trend belia-belia kini yang menggunakan facebook untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan dan menjadikan facebook sebagai wahana untuk mereka berdakwah. Hal ini, merupakan satu petanda yang baik. Walau apa pun alasan, niat tidak dapat menghalalkan cara. Mereka yang berniat baik ini perlu berhati-hati supaya mereka sendiri tidak melakukan dosa kerana mengabaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam masa yang sama.